Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Landskap industri pusat data negara kini sedang melalui fasa transformasi kritikal apabila Malaysia beralih daripada model pertumbuhan berasaskan jumlah kepada pengembangan yang dipacu oleh kualiti, sejajar dengan peraturan baharu yang diperkenalkan kerajaan negeri utama.

BIMB Securities Research dalam nota penyelidikan terbaharunya menyifatkan perubahan itu sebagai satu peralihan struktur yang jelas, didorong oleh pengenalan kriteria kelulusan lebih ketat di Selangor dan Johor bagi memastikan pelaburan yang masuk memberi nilai tambah ekonomi lebih tinggi.

Menurut firma penyelidikan itu, pendekatan baharu berkenaan menandakan berakhirnya era penerimaan pelaburan pusat data secara pukal tanpa penelitian mendalam terhadap kesan limpahan ekonomi kepada pasaran domestik.

Penganalisis BIMB Securities Research, Nabil Zainoodin, berkata isyarat dasar di peringkat negeri menunjukkan Malaysia kini lebih selektif, dengan keutamaan diberikan kepada projek yang berupaya menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang dan pembangunan ekosistem tempatan.

“Pengetatan kawal selia ini bukan bersifat kitaran, sebaliknya mencerminkan perubahan struktur ke arah pertumbuhan pusat data yang dipacu kualiti,” katanya.

Di Selangor, kerajaan negeri telah memperketatkan kriteria kemasukan pelaburan pusat data dengan menetapkan keperluan kandungan tempatan minimum sebanyak 30 peratus bagi setiap projek.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebelum ini menegaskan bahawa langkah berkenaan bertujuan menangani kebimbangan bahawa pelaburan pusat data yang bersifat padat modal sering kali menawarkan kesan gandaan ekonomi yang terhad.

Dasar itu mewajibkan pembabitan syarikat tempatan dalam segmen teknikal bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), sistem penyejukan, kerja kejuruteraan serta perkhidmatan berkaitan.

Menurut BIMB Securities, tanpa campur tangan dasar sedemikian, pengendali pusat data cenderung untuk terus bergantung kepada pembekal asing sedia ada, sekali gus mengehadkan peluang pembangunan vendor dan kepakaran tempatan.

Sementara itu, Johor pula mengambil pendekatan berbeza dengan menumpukan kepada aspek kemampanan sumber alam, khususnya bekalan air mentah yang semakin terhad.

Kerajaan negeri Johor kini tidak lagi membenarkan pembinaan pusat data Tier I dan Tier II yang menggunakan air secara berlebihan, memandangkan kebanyakan hasil sungai sedia ada sudah dimaksimumkan.

Sebagai alternatif, Johor telah menaikkan had kelulusan minimum kepada fasiliti Tier III dan Tier IV yang lebih cekap dari segi penggunaan tenaga serta air, selari dengan agenda pembangunan infrastruktur digital mampan.

BIMB Securities berpandangan, walaupun pengetatan itu berpotensi menyederhanakan bilangan projek yang diluluskan, ia dijangka meningkatkan purata saiz projek, intensiti modal dan nilai ekonomi bagi setiap tapak pembangunan.

Keadaan ini secara tidak langsung akan memihak kepada pemaju berskala besar atau skala hiper serta kontraktor berprofil tinggi yang memiliki rekod prestasi kukuh dan keupayaan teknikal menyeluruh.

Dalam persekitaran kawal selia baharu ini, kontraktor Tier-1 seperti Gamuda Bhd dan Sunway Construction dilihat berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat berikutan kemampuan mereka memenuhi keperluan kemampanan dan kandungan tempatan yang lebih tinggi.

Dari sudut unjuran kapasiti, Johor dijangka mempunyai kapasiti pusat data terpasang minimum sekitar 500 megawatt (MW) menjelang akhir 2025, sebelum melonjak sekurang-kurangnya kepada 3 gigawatt (GW) menjelang 2030.

Bagi Selangor pula, walaupun kapasiti semasanya lebih kecil berbanding Johor, negeri itu telah menerima dua pertanyaan utama bagi projek pusat data berskala besar, masing-masing berkapasiti kira-kira 1GW, yang dijangka direalisasikan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Nabil berkata, peralihan kepada strategi berfokuskan kualiti ini akan memperkukuh rantaian bekalan domestik, meningkatkan pemindahan teknologi serta memastikan penglibatan tenaga kerja tempatan yang lebih meluas.

“Pendekatan ini memastikan limpahan ekonomi daripada pelaburan pusat data tidak hanya tertumpu kepada angka pelaburan kasar, sebaliknya benar-benar memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya.-BH Online