SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalurkan peruntukan sehingga RM2 juta sebagai langkah awal bagi menampung kos kerja-kerja pembaikan dan pemulihan sistem bekalan elektrik yang terbakar di Blok C Flat Seri Perantau, Pelabuhan Klang.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pelaksanaan kerja pembaikan akan diselaraskan oleh kerajaan negeri termasuk pelantikan kontraktor berkaitan.
Menurutnya, isu gangguan bekalan elektrik yang berlarutan sejak 7 Disember lalu itu menjejaskan kira-kira 600 penduduk dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Khas Pemulihan Infrastruktur Kritikal Insiden Kebakaran Elektrik Blok C, pada Isnin bagi merangka langkah penyelesaian segera dan susulan.
“Hasil penelitian awal mendapati kelemahan aspek penyelenggaraan dikenal pasti sebagai antara faktor menyumbang kepada kejadian kebakaran, sekali gus menjejaskan sistem bekalan elektrik dan kemudahan asas bangunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau memberitahu, selain peruntukan kewangan, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara PKNS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut digerakkan termasuk penyaluran bantuan melalui Skim CERIA.
Beliau menambah, usaha mempercepatkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) juga sedang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan bangunan dapat diurus secara lebih tersusun dan mampan pada masa depan.
Borhan memberitahu, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan isu itu dan mendapatkan kerjasama semua pihak berkaitan termasuk Perbendaharaan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kita mahu memastikan penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang dapat dilaksanakan dengan berkesan,” jelas beliau.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kira-kira 600 penduduk membabitkan 128 unit rumah di flat berkenaan terus berdepan kesukaran hidup selepas tidak menerima bekalan elektrik susulan kebakaran mengejut di bilik sesalur elektrik (DB) flat itu sejak 7 Disember lalu.-Sinar Harian
