Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGKOK: Sehari selepas bersetuju menghentikan pertempuran maut dengan Kemboja, Thailand menegaskan penjanjian damai itu adalah ujian untuk mengesahkan keikhlasan Kemboja kepada gencatan senjata, bukan satu konsesi.

Menteri Pertahanan Thailand, Nattaphon Narkphanit, berkata perjanjian damai bersyarat itu bertujuan memastikan Kemboja benar-benar menghentikan aktiviti bersenjata dan ancaman di sempadan.

Beliau membuat kenyataan itu selepas pengumuman perjanjian damai bersama pada 27 Disember lalu, menunjukkan betapa rapuhnya rundingan gencatan senjata kedua antara kedua-dua negara jiran itu.

Perjanjian terdahulu, dengan Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia selaku penimbang tara, membantu menamatkan lima hari pertempuran pada Julai, gagal pada awal Disember apabila beberapa tentera Thailand cedera akibat letupan jerangkap samar.

Kenyataan itu juga menunjukkan bagaimana peningkatan sentimen nasionalisme di kedua-dua belah sempadan menyumbang kepada konflik baru-baru ini, dengan kedua-dua kerajaan mendapat keuntungan politik daripada pendirian tegas. 

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, membubarkan Parlimen untuk pilihan raya Februari 2026, dengan harapan konflik akan mengukuhkan sokongan kepada partinya.

Menteri Luar Thailand dan Kemboja kini berada di Yunnan, China, untuk rundingan, dengan China bertindak sebagai pengantara bagi memeterai gencatan senjata, membina semula kepercayaan politik dan kekalkan keamanan serantau.

Menteri luar Thailand dan Kemboja juga akan bertemu Menteri Luar China, Wang Yi, dengan disertai wakil tentera ketiga-tiga negara.

“China akan memainkan peranan membina dengan caranya sendiri bagi membolehkan Kemboja dan Thailand mengukuhkan gencatan senjata, teruskan rundingan, membina semula kepercayaan politik, memulihkan hubungan dua hala dan menegakkan keamanan serantau,” menurut jurucakap kerajaan China.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua negara bersetuju mengekalkan kedudukan tentera, tidak menghantar bantuan atau bergerak, serta mengelak serangan atau provokasi. Thailand akan memantau selama 72 jam selepas perjanjian ditandatangani.

Thailand menegaskan ia berhak mempertahankan diri jika berlaku pelanggaran, dan penggunaan kekerasan akan berdasarkan keperluan serta kesesuaian.

Pertempuran 2025 adalah antara yang paling buruk antara Thailand dan Kemboja, berpunca daripada pertikaian lama mengenai peta dan sempadan era penjajah.

Tentera Udara Thailand berkata, laporan pesawat kargo asing ke ibu negara Kemboja dari Belarus dan lokasi lain tidak perlu dibimbangi, kerana Thailand menjejaki pergerakan itu secara menyeluruh dengan langkah bersedia bagi sebarang tindakan yang menjejaskan negara. – AGENSI