KUALA LUMPUR: Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work Based Leaning (WBL) 2.0 Kementerian Pertahanan adalah pendekatan strategik Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) untuk memberi ruang kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kelulusan akademik dengan menawarkan fleksibiliti mengikuti program diploma di institusi pengajian tinggi (IPT).
Program oleh MINDEF dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini memberi peluang kepada anggota lain-lain pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang utama ATM menukar pengalaman kerja sebenar kepada pengajian diploma yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Secara ringkasnya, WBL adalah pendekatan pembelajaran bersepadu yang memanfaatkan tempat kerja sebagai medium utama pembentukan ilmu, kemahiran dan profesionalisme.null
Penyelaras WBL Tentera Darat Malaysia, Leftenan Kolonel Dr Siti Haizam Mohd Zin, berkata program WBL 2.0 Kementerian Pertahanan ini, berjaya dilaksanakan di MINDEF melalui pendekatan bersepadu berasaskan Joint Service Transcipt (JST) yang memanfaatkan data perkhidmatan anggota merangkumi kursus ketenteraan, bidang tugas, penilaian di pusat latihan dan pengalaman pembelajaran sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Melalui pemetaan kompetensi secara sistematik bersama IPT terpilih, pengalaman kerja sebenar anggota yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun diiktiraf sebagai setara dengan keperluan akademik bagi penganugerahan kelayakan diploma tanpa penambahan sesi pembelajaran konvensional.
“Bagaimanapun, sebarang jurang pembelajaran pada tahap minimum ditangani secara fleksibel melalui pendekatan kursus micro-credential dan top-up university.
“Program WBL ini adalah pendekatan strategik MINDEF yang memberi peluang anggota LLP meningkatkan kelulusan akademik, sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan modal insan ATM,” katanya kepada BH, baru-baru ini.
Leftenan Kolonel Dr Siti Haizam yang juga Pegawai Staf 2 Sel Pendidikan (Pembangunan) Tentera Darat Malaysia, Cawangan Sumber Manusia, Markas Tentera Darat berkata, penganugerahan sijil akademik dalam bidang terkait dengan skop kerja, kepakaran dan pengalaman anggota yang terbabit dalam program ini dijangka dapat meningkatkan kerjaya serta kompetensi dalam perkhidmatan dan kebolehpasaran mereka selepas menamatkan perkhidmatan kelak.
Menurutnya, melalui program WBL, proses pengiktirafan pembelajaran terdahulu dan pemetaan pengalaman kerja kepada jam kredit akademik secara sistematik, berupaya memperkukuh keupayaan kognitif, kompetensi serta amalan etika kerja anggota.
Mengenai pencapaian WBL 2.0 sepanjang 2025 katanya, ia merekodkan kejayaan memberangsangkan apabila Program Diploma WBL 2.0 Kohort 1, berjaya dilaksanakan dengan kerjasama UPNM dan UiTM.
“Seramai 230 anggota ATM yang membabitkan 138 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), 42 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 50 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya mengikuti program ini di UPNM sepanjang tahun ini. Institusi ini menawarkan tiga program, iaitu Diploma Pentadbiran Perniagaan, Diploma Pengurusan Logistik dan Diploma Teknologi Pertahanan.
“Untuk di UiTM, seramai 231 anggota terdiri daripada 141 anggota TDM dan 90 anggota TUDM sedang mengikuti program Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pendidikan Islam, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Diploma Pengajian Sukan,” katanya.
“ATM berharap program WBL 2.0 akan menjadi pemangkin utama transformasi pendidikan pertahanan negara, melahirkan anggota yang kompeten secara operasi dan juga berdaya saing dari sudut akademik serta profesional,” katanya.
Menurut Leftenan Kolonel Dr Siti Haizam, keunikan utama WBL 2.0 terletak pada pengiktirafan formal terhadap pengalaman perkhidmatan, latihan dan kompetensi anggota sebagai asas pembelajaran akademik.
Katanya, pendekatan ini mengurangkan jurang pembelajaran, meminimumkan keperluan sesi tambahan dan membolehkan anggota memperoleh kelayakan tanpa perlu meninggalkan tugas hakiki.
Program berasas pengalaman
Sementara itu, tiga anggota LLP ATM, yang juga penuntut Program WBL 2.0 ini melahirkan rasa gembira dan merakamkan penghargaan kepada ATM dan MINDEF kerana berpeluang mengikuti program diploma ditawarkan, sekali gus mampu meningkatkan kelayakan akademik bidang diceburi.
Pegawai Waran Udara 1, Mohd Rashidi Md Tahir, 43, berkata, program WBL 2.0 adalah program yang menilai berasaskan pengalaman kerja sebenar tanpa membabitkan kuliah dan pengajian secara formal.
Anggota TUDM yang menyertai program Diploma Pengurusan Perniagaan ini berkata, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan dijadikan sebagai asas penilaian melalui dokumen pembuktian, portfolio kerja serta penilaian fokus.
“Pendekatan ini membolehkan saya meneruskan tugas hakiki tanpa gangguan, pada masa sama pengalaman kerja selama 25 tahun diiktiraf sebagai salah satu daripada pencapaian akademik.
“Manfaat utama program WBL ini secara umumnya adalah pengiktirafan rasmi terhadap pengalaman kerja untuk anggota LLP ATM dan ia diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ini memberi kelebihan kepada kami,” katanya.
Anggota TLDM, Pegawai Waran I KOM (I) Ragawan a/l Marimuthu, 40, berkata ketika dia menyertai perkhidmatan ATM 22 tahun lalu, dia hanya mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini melalui WBL 2.0, dia berpeluang meningkatkan tahap pendidikannya ke peringkat lebih tinggi.
“Saya mengambil jurusan Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan (DPTP), dan jurusan ini penting bagi saya untuk melaksanakan tugas di Markas Tentera Laut, terutama di Bahagian Siber dan Elektromegnetik. Ia peluang terbaik untuk saya terus menabur bakti dengan tempoh perkhidmatan saya yang berbaki lagi empat tahun.
“ATM pada masa ini sedang menuju ke arah ‘Angkatan Masa Hadapan’ dan dalam merealisasikannya, saya akan memanfaatkan ilmu diperoleh ini dalam tugasan saya di TLDM supaya dapat mendukung sistem teknologi terkini, termasuk sistem persenjataan dan radio komunikasi yang diguna pakai dalam kapal TLDM,” katanya.
Penuntut jurusan Diploma Pengurusan Logistik, Sarjan Hazrol Naim Ahmad Nor daripada Kor Infantri (Rejimen Sempadan) yang bertugas di Markas Staf Stesyen Sg Buloh sebagai Sarjan Wisma Bintara, menyifatkan kursus disertainya bertepatan dengan tugasan hakikinya di Bahagian Logistik TDM.
“Melalui program WBL ini saya berpeluang merasai suasana pembelajaran kondusif, berinteraksi dengan pensyarah berpengalaman serta mengikuti bimbingan akademik yang tersusun dan bersistematik,” katanya.
Program WBL ini salah satu daripada 10 inisiatif utama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagi mengukuh keistimewaan dan kelebihan perkhidmatan ATM.
Mohamed Khaled memberi jaminan, setiap anggota yang menyertai WBL akan dianugerahkan diploma berdasarkan pengalaman kerja mereka, selain memastikan setiap bakal pesara ATM, memiliki kelayakan, daya saing dan persediaan kerjaya kedua.-BH Online
