KUALA LUMPUR, 29 Disember – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam usaha membangunkan sukan sepak takraw negara, di samping memastikan kebajikan atlet kebangsaan terus terpelihara.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata kejayaan skuad sepak takraw negara meraih pingat emas acara berpasukan pada Sukan SEA Bangkok 2025 membuktikan keberkesanan pendekatan MARA yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, malah menyediakan sokongan menyeluruh kepada atlet.
Beliau berkata, MARA komited menjadikan pembangunan sukan sepak takraw sebagai antara keutamaan organisasi selari dengan matlamat melahirkan atlet berprestasi tinggi yang seimbang dari segi kemahiran dan kebajikan.-Berita RTM
