KUALA LANGAT, 27 Disember – Pembinaan blok tambahan di Hospital Banting dijangka meningkatkan tahap keselesaan warga hospital serta mengurangkan masalah kesesakan di institusi kesihatan berkenaan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata penambahan blok baharu bagi hospital yang telah beroperasi lebih 50 tahun itu amat dinantikan penduduk Kuala Langat, memandangkan Hospital Banting kini menjadi tumpuan utama masyarakat setempat dan berdepan kekangan ruang.
“Ini memang ditunggu-tunggu, khususnya bagi penduduk daerah Kuala Langat, memandangkan hospital ini dibina pada tahun 1974. Dengan kelulusan daripada Jemaah Menteri di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, ia akan menjadi kelegaan bagi penduduk.
“Keadaan agak terdesak apabila saya melawat setiap wad lelaki, wanita dan kanak-kanak di mana terdapat penambahan katil yang menyebabkan ruang kurang selesa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke hospital tersebut.
Beliau berharap sepanjang tempoh pembinaan dijalankan, pihak kementerian memberi perhatian terhadap keperluan segera hospital, termasuk kerja-kerja pembaikan bumbung yang rosak sehingga menyebabkan kebocoran siling.
Lawatan rasmi itu turut bertujuan memberi sokongan moral kepada pesakit dan petugas kesihatan, selain memastikan pimpinan negeri sentiasa turun padang mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut menyampaikan 10 unit kerusi roda kepada pengurusan Hospital Banting untuk kegunaan pesakit.
