Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI, 27 Disember – Langkawi antara 53 pintu masuk negara yang akan mengadakan sambutan ketibaan pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, sambutan berkenaan akan diadakan pada 1 Januari 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA).

“Sebab Langkawi merupakan lapangan terbang antarabangsa, kita akan menyambut ketibaan pelancong bermula 1 Januari nanti. Selain Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching, terdapat juga beberapa lagi pintu masuk utama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat ruang pameran Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai di Kuah hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad dan pegawai-pegawai kanan MOTAC.

Program tiga hari yang bermula 25 Disember itu menyaksikan seramai 15 penggiat seni daripada pelbagai disiplin terlibat secara langsung.

Program itu mengetengahkan konsep ‘Do It Yourself’ (DIY) sebagai medium eksplorasi kreativiti dan perkongsian idea secara terbuka, inklusif dan inovatif.

Selain itu ia memberi tumpuan kepada budaya ubah suai merentas pelbagai disiplin, merangkumi mainan, fesyen, seni jalanan, automotif, kraf serta teknologi buatan sendiri.-BH Online