Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Sebanyak 30 lagi rumah mampu milik untuk penjawat awam di negeri ini akan dibangunkan di Bukit Katil, di sini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Projek perumahan itu bakal dibangunkan di atas kawasan seluas 1.3 hektar milik Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Negeri Melaka (PERTAM), membabitkan rumah jenis teres dua tingkat.

Justeru, satu perjanjian dimeterai antara PERTAM dan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Development hari ini selaku pemaju projek berkenaan.

PERTAM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, manakala LPM Development diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Murad Husin, dengan majlis disaksikan EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Yang turut hadir, Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri yang juga Timbalan Pengerusi PERTAM, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Rais berkata, perjanjian dimuktamadkan selepas mendapat kelulusan Lembaga Pengarah PERTAM untuk memberi peluang kepada LPM Development selaku pemaju projek berkenaan.

Katanya, LPM Development adalah anak syarikat milik penuh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang berpengalaman dalam pembangunan perumahan, khususnya membabitkan projek milik kerajaan negeri.

“Kerjasama ini diharap dapat memberikan pulangan yang baik kepada kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta menyumbang kepada agenda penyediaan perumahan mampu milik di negeri ini,” katanya.-BH Online