KUALA LUMPUR, 26 Disember – Individu yang membuang sampah merata-rata di tempat awam bakal berdepan tindakan lebih tegas bermula 1 Januari tahun depan, termasuk denda sehingga RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata langkah itu diambil bagi memastikan tahap kebersihan bandar sentiasa berada pada tahap memuaskan, selain mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran.
Teguran tersebut dibuat susulan penularan gambar di media sosial yang memaparkan beberapa kawasan pusat bandar, termasuk Bukit Bintang, dipenuhi sampah sarap selepas sambutan malam Krismas.
“Saya memandang serius dan amat kesal dengan laporan berkaitan tahap kebersihan bandar yang masih terjejas akibat sikap segelintir individu yang membuang sampah merata-rata, khususnya di pusat bandar dan kawasan tumpuan awam.
“Persoalannya, adakah ini budaya kita? Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong,” katanya menerusi hantaran di Facebook kementerian KPKT pada Khamis.
Beliau berkata kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) komited melaksanakan kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan bandar berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu tidak akan berkesan tanpa kesedaran dan kerjasama orang ramai kerana kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, SWCorp atau PBT, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“Mulai 1 Januari 2026, mana-mana individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, selain hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan.
“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati ruang awam yang kita kongsi bersama. Raikan apa jua perayaan atau aktiviti dengan kesedaran sivik, gunakan tong sampah yang disediakan dan patuhi undang-undang demi kebersihan bandar,” katanya.
Menurut beliau, bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya tinggi dan usaha ke arah bandar yang lebih bersih, lestari serta berdaya huni perlu disokong bersama demi generasi akan datang.-Berita RTM
