Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 622,283 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan sejak 2023 hingga 19 Disember lalu menerusi inisiatif MYFutureJobs, sekali gus mencerminkan keberkesanan dasar pasaran buruh aktif serta ketahanan ekonomi negara dalam mendepani ketidaktentuan global. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata pencapaian itu selari dengan penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi serta daya tahan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, pengiktirafan itu turut mencerminkan kekuatan asas domestik negara dan dasar fiskal serta ekonomi berhemat yang dilaksanakan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pengiktirafan IMF membuktikan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan dasar antarabangsa, termasuk kesan tarif tinggi yang dikenakan Amerika Syarikat.

“Perkembangan positif ini didorong permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan dan pertumbuhan guna tenaga yang sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada 19 Disember lalu, IMF menyifatkan Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketegangan global, disokong permintaan domestik yang kukuh dan dasar ekonomi yang mantap serta pendekatan makroekonomi dan kewangan yang berhemat.

Ramanan berkata, daripada perspektif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), ketahanan ekonomi perlu diterjemahkan kepada hasil bermakna kepada rakyat khususnya melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang adil dan pengukuhan tenaga kerja nasional. 

“Pertumbuhan ekonomi mesti seiring dengan penciptaan pekerjaan berkualiti. Fokus kami adalah memastikan pertumbuhan yang inklusif dan melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran relevan bagi menghadapi pasaran buruh yang semakin dinamik,” katanya.

Ramanan berkata, KESUMA menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus memperkukuh inisiatif MYFutureJobs, portal pekerjaan nasional yang berperanan sebagai platform utama kerajaan bagi padanan kerjaya, pemudah cara tenaga kerja dan penyelarasan pasaran buruh.

Beliau berkata, kementerian itu akan terus mempertingkatkan keupayaan MYFutureJobs melalui pemanfaatan teknologi digital, kerjasama strategik dengan majikan dan inisiatif bersepadu bersama PERKESO, HRD Corp, Jabatan Tenaga Manusia dan TalentCorp bagi memperkukuh pasaran buruh negara.

“Pendekatan ini merangkumi pemadanan kerja aktif, pembangunan kemahiran, perlindungan keselamatan sosial, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan penawaran gaji yang lebih kompetitif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan secara langsung kepada peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan mampan serta tenaga kerja yang berdaya saing,” katanya. – BERNAMA