Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 26 Disember – Penganjuran sebuah acara pertandingan ratu dan jejaka selebriti peringkat antarabangsa yang tular baru-baru ini di Sentul disahkan tiada kaitan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia.

Tourism Malaysia berkata pihak penganjur acara berkenaan didapati telah menggunakan logo korporat Tourism Malaysia serta logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) tanpa kebenaran bertulis rasmi daripada agensi berkenaan.

“MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara berkenaan, termasuk penggunaan logo tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi negara.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman dan gambar memaparkan seorang lelaki mengenakan gaun wanita menerima sijil penghargaan dalam sebuah acara pertandingan itu, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi wargamaya.-Berita RTM