KUALA LUMPUR: Tahun 2025 menjadi saksi kebangkitan besar skuad sepak takraw lelaki negara apabila deretan pencapaian di pentas antarabangsa berjaya menghapuskan rekod penantian panjang dan mengangkat semula maruah sukan warisan itu.
Meskipun bermula agak perlahan pada Piala Dunia ISTAF di India yang menyaksikan Malaysia sekadar mara ke separuh akhir acara beregu dan terkandas di peringkat kumpulan kuadran.
Namun, bermula di Piala Asia ASTAF 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 10 hingga 18 Mei, Malaysia membuktikan bahawa sepak takraw negara kini berada di dimensi berbeza apabila berjaya meraih dua kejuaraan daripada empat acara dipertandingkan.
Skuad bimbingan Ahmad Jais mengesahkan kejuaraan di halaman sendiri dalam acara regu dan kuadran sementara beregu dan regu berpasukan sekadar menamatkan saingan di kedudukan kedua sekali gus membuktikan status kuasa besar Asia.
Momentum itu diteruskan pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-38 di Hatyai, Thailand (22–27 Julai) apabila skuad negara merangkul naib juara berpasukan, mara ke separuh akhir kuadran namun terkandas di peringkat kumpulan bagi acara kuadran campuran
Detik paling manis bagi kem sepak takraw negara hadir pada Sukan Sea Thailand apabila muncul juara berganda dalam acara regu dan regu berpasukan selain membawa pulang gangsa chinlone meskipun terkandas di peringkat kumpulan bagi kuadran dan kuadran campuran.
Lebih bermakna, 2025 turut mencatat sejarah apabila beberapa rekod penantian panjang akhirnya dipadamkan, termasuk juara regu Piala Dunia 2024 selepas 13 tahun, juara beregu Piala Dunia buat kali pertama sejak diperkenalkan 17 tahun lalu, juara kuadran selepas lapan tahun serta juara berpasukan selepas 34 tahun.
Bagi tahun 2026, cabaran lebih besar bakal menanti sepak takraw Malaysia apabila akan turun selaku juara bertahan (regu dan regu berpasukan) di Piala Dunia Kuala Lumpur (Mei), selain menyertai Piala Raja Thai (Julai), Sukan Asia di Jepun (September) dan Kejohanan Dunia Remaja di Manila (November).-BH Online
