KUALA LUMPUR : Polis membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memalsukan dokumen.
Menurutnya, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Setakat ini, dua individu dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tersebut.
Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan itu diambil selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan laporan siasatan mereka baru-baru ini.
Beliau menegaskan, FAM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Terdahulu, IIC dalam laporan penuh siasatan mereka telah mengemukakan tiga cadangan kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Antara cadangan utama ialah agar badan induk bola sepak negara itu segera membuat laporan polis, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh dan sewajarnya, termasuk membuktikan asal usul dokumen yang disyaki palsu serta mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.-Astro Awani
