SEREMBAN, 24 Disember– Umat Islam di negara ini disaran agar menunaikan zakat sebelum tahun 2025 berakhir minggu hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata selain untuk meraih ganjaran Allah SWT, ia bagi memastikan program bantuan untuk golongan yang memerlukan terus dapat dilaksana.
“Kita masih mempunyai beberapa hari lagi untuk menunaikan kewajipan zakat. Sehubungan itu, marilah kita menunaikan zakat di tempat kita bekerja dan di tempat kita mencari rezeki, kerana di situlah yang paling afdal untuk kita melaksanakannya.”
“Hendaklah kita meniatkan ibadah zakat ini dengan penuh keikhlasan, ketulusan dan kesungguhan semata-mata kerana Allah SWT. Mudah-mudahan, hasil daripada zakat yang ditunaikan ini dapat membantu meringankan beban saudara-saudara kita daripada golongan asnaf di seluruh negara,” kata Dr. Zulkifli kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi Tingkatan 5 Sesi 2025, Sekolah Menengah Seri Setia, di sini.
Beliau turut menasihati para pelajar generasi kini supaya menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan akhlak dan adab bagi meraih kejayaan di dunia dan akhirat.-Berita RTM
