Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah di Putrajaya, hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata beliau turut menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Abdul Halim di kementerian itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Abdul Halim atas kepimpinan beliau sepanjang menerajui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Saya seterusnya bertemu Ketua Pengarah NADMA yang baharu, Tuan Meor Ismail Meor Akim. Perbincangan kami tertumpu kepada aspek kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, selain pengukuhan keupayaan tindak balas bencana agar lebih tersusun dan berkesan.
“Saya juga turut menerima kunjung hormat daripada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), YAS KPj. (PA) Mohammad Abiddin bin Abd Rahman, dengan penegasan terhadap peranan penting APM sebagai barisan hadapan dalam menjamin keselamatan rakyat. Sesi ini disempurnakan dengan penyerahan Watikah Tauliah Ketua Pesuruhjaya APM kepada beliau,” katanya.
Tambahnya, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan sistem penyampaian sentiasa bersedia, tersusun dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.-Berita RTM
