KUALA LUMPUR, 24 Disember – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM18 bilion, setakat 22 Disember 2025.
LHDN dalam kenyataannya memaklumkan, pembayaran balik cukai itu melibatkan lebih 3.54 juta kes bermula 1 Januari sehingga kini.
“Sebanyak RM3 bilion telah diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 22 Disember 2025 melibatkan 20,930 kes daripada peruntukan tambahan berjumlah RM4 bilion.
“Baki RM1 bilion peruntukan tambahan akan diproses dan diselesaikan sebelum akhir Disember 2025,” menurut kenyataan itu.
Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan telah berjaya menyelesaikan
tunggakan bayaran balik untuk kes melebihi tiga tahun tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat.
Dana RM2 bilion berikutnya pula telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik untuk tempoh dua ke tiga tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pembayar cukai dinasihatkan supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses disebabkan kesilapan atau ketiadaan akaun bank yang betul.
“Selain itu, tiada bayaran balik dapat diproses melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan,” tambah kenyataan itu.
LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik, antaranya amaun tertunggak melibatkan PKS.-Berita RTM
