KUALA LUMPUR 24 Disember -Kerajaan menyasarkan nilai eksport sektor agrikomoditi negara melebihi RM200 bilion menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh transformasi industri berkenaan agar kekal berdaya saing di peringkat global.
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, berkata nilai eksport agrikomoditi pada 2024 dianggarkan sekitar RM187 bilion, dan dijangka terus meningkat melalui pelaksanaan strategi bersasar yang memfokuskan peningkatan produktiviti serta penambahan nilai produk.
“Fokus kita yang utama adalah memastikan bahawa kita boleh tambah nilai eksport kita. Kalau pada tahun 2024 nilai eksport kita lebih kurang RM187 bilion untuk agrikomoditi. Jadi kita nak sasarkan lebih daripada itu, mungkin RM200 bilion pada tahun 2026″, beliau ditemui selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia, di sini.
Antara strategi utama kementerian ialah mempergiat penggunaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi dan mekanisasi di sektor perladangan untuk meningkatkan kecekapan operasi serta hasil pengeluaran. Langkah ini juga dijangka mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, yang kini mencecah lebih 250,000 orang dalam sektor agrikomoditi.
Penggunaan automasi dan mekanisasi bukan sahaja memperbaiki pengurusan ladang, tetapi juga memastikan jadual penanaman dan pemprosesan berjalan lebih sistematik, sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada pekebun kecil dan industri.
Kerajaan turut berhasrat menarik penyertaan golongan muda tempatan melalui program bersesuaian dan peluang pendapatan lebih kompetitif.
“Negara-negara import ini lebih mengutamakan produk yang mempunyai sustainability yang akan dapat meningkatkan eksport kita melalui program-program promosi yang akan kita laksanakan untuk tahun 2026.”
Selain memberi penekanan kepada kemampanan, kementerian turut merancang untuk memperluaskan promosi dan menembusi pasaran baharu termasuk Eropah Timur, Balkan, Rusia dan Afrika.
Usaha bersepadu itu dijangka memastikan industri agrikomoditi terus kekal sebagaiantara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK negara.-Berita RTM
