ABU DHABI, 24 Disember -Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Selasa.
Menerusi hantaran yang dimuatnaik di Facebook baginda, Sultan Ibrahim memaklumkan, pertemuan berkenaan membentuk landasan kerjasama yang lebih berpandangan jauh dan strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan serta keterjaminan makanan.
“Kami juga berkongsi pandangan mengenai usaha untuk mengeratkan lagi kerjasama antara Malaysia dan UAE dalam bidang pertahanan,” titah baginda dalam kenyataan di facebooknya.
Pertemuan empat mata antara Sultan Ibrahim dan Sheikh Mohamed berlangsung hampir satu jam di Istana Qasr Al Bahr, Abu Dhabi.
Ia diadakan bersempena lawatan khas Sultan Ibrahim ke UAE atas jemputan rasmi Presiden negara itu.-Berita RTM
