KUALA LUMPUR: Kerjasama perdagangan Malaysia-Russia memasuki fasa baharu melalui inisiatif membawa masuk daging ayam belanda yang diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke pasaran tempatan.
Inisiatif yang diterajui oleh 3Bumi Trading Sdn Bhd itu adalah sebahagian usaha memperkukuh keterjaminan makanan dan ekosistem halal negara.
Ia dilancarkan pada acara bertemakan ‘From Russia With Love’ yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl M Latypov, hari ini.
Mohamad berkata, inisiatif itu hasil usaha berterusan kerajaan bersama pihak berkuasa Russia bagi memastikan bekalan ayam belanda yang diimport memenuhi keperluan halal serta piawaian keterjaminan makanan negara.
“JAKIM telah menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di Russia, termasuk melaksanakan audit dan pemeriksaan menyeluruh meliputi aspek kesihatan ternakan, keselamatan makanan dan pematuhan halal di peringkat ladang serta pemprosesan bagi memastikan ayam belanda yang diimport bebas daripada penyakit dan mematuhi standard halal Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pengenalan Ayam Belanda Halal Russia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata proses teknikal telah dilaksanakan dengan teliti apabila rundingan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dimuktamadkan pada 13 Ogos 2025, diikuti pemeriksaan audit dan loji pemprosesan yang mematuhi syarat diluluskan pada 3 Disember 2025.
Dari sudut tatakelola import dan keterjaminan makanan, pengimportan ayam belanda dari Russia dibuat berdasarkan pematuhan syarat kemasukan import Malaysia serta mengambil kira status Wilayah Penza sebagai kawasan yang diiktiraf bebas penyakit HPAI (High Pathogenicity Avian Influenza).
“Kerajaan memberi penekanan serius bagi memastikan ayam belanda yang diimport bebas daripada sebarang penyakit dan memenuhi standard halal Malaysia sebelum dibenarkan memasuki pasaran tempatan,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 5.1 tan ayam belanda telah diimport dan daging yang dibawa masuk ketika ini adalah ayam muda dengan berat sekitar tujuh kilogram, manakala ayam belanda dewasa boleh mencecah sehingga 22 kilogram.
Mohamad berkata, inisiatif itu menunaikan komitmen yang dibuat semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Russia pada Mei lalu, apabila kerajaan menyatakan hasrat membawa masuk ayam belanda halal dari negara berkenaan bagi memenuhi keperluan pasaran Malaysia, khususnya menjelang musim perayaan.
Dalam konteks lebih luas, beliau menegaskan pengimportan ayam belanda halal itu selari dengan usaha kerajaan mempelbagaikan sumber makanan negara serta mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Russia.
“Hubungan perdagangan Malaysia-Russia telah lama terjalin, meliputi sektor pertahanan dan komoditi seperti minyak sawit, dan kini diperluaskan kepada industri makanan halal. Usaha meneroka peluang baharu perlu diteruskan bagi memperkukuh lagi kerjasama dagang kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, 3Bumi Trading menegaskan komitmennya untuk memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan perundangan dan jaminan halal di setiap peringkat rantaian bekalan, dengan maklumat lanjut mengenai ketersediaan produk dan saluran pengedaran akan diumumkan kelak.-BH Online
