KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan transaksi luar biasa dalam akaun bank milik seorang pegawai kanan tentera negara.
Difahamkan, pada jam 11.30 pagi tadi, sekumpulan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menyiasat kes berkenaan.
Bagaimanapun, BH difahamkan siasatan awal SPRM kini tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Satu kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan rasuah yang membabitkan seorang pegawai kanan tentera.
“Kita tegaskan semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanyadi sini hari ini.
Sementara itu, satu sumber berkata,kehadiran pegawai SPRM ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) adalah bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang membabitkan Tentera Darat dari tahun 2023 hingga kini.
Kata sumber, transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang dinamakan dalam dakwaan itu juga akan diteliti,
Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam selepas membuat laporan mengenai dakwaan itu, berkata audit forensik ke atas dokumen diterimanya mendedahkan deposit bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau turut mengesahkan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok bagi menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan rasuah melibatkan seorang pegawai kanan tentera.
Che’gu Bard juga mendesak agar tindakan tegas diambil demi menjaga integriti pasukan keselamatan negara.
“Saya setuju pihak berkuasa menjalankan siasatan, namun saya mendesak demi keteguhan integriti, Panglima Tentera Darat perlu direhatkan atau digantung tugas segera sebelum pihak berkuasa mengesahkan semua pendedahan dan tindakan lanjut diambil,” katanya.
Sementara itu,Mohamed Khaled dalam kenyataannya menyatakan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang isu integriti.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut tanpa campur tangan politik, namun menekankan bahawa sebarang tuduhan perlulah berasaskan bukti dan bukan sekadar khabar angin.-BH Online
