GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang masih belum menerima sebarang notis atau petisyen daripada Kerajaan Kedah berhubung isu kedudukan dan hubungan Kedah dengan Pulau Pinang yang masih berlarutan hingga kini.
Ia susulan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mendakwa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah dan mengingatkan negeri itu tidak masuk campur dan menegur urusan pentadbiran Kerajaan Kedah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang turut mengesahkan tiada sebarang komunikasi diterima daripada Kedah mengenai perkara itu yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.
“Tiada…Masih tiada apa-apa (notis atau petisyen) yang kita terima, malah tiada sepucuk surat rasmi pun dihantar kepada kami,” katanya selepas pelancaran Kalendar Kita Bersama Petron Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang 2025 di Komtar, hari ini.
Muhammad Sanusi pada bulan lalu, berkata Kedah sedang mengumpulkan pasukan guaman untuk membawa kes membabitkan hubungan antara negeri itu dengan Pulau Pinang ke mahkamah.
Beliau berkata, langkah itu diambil selepas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, menggesa supaya perkara itu diselesaikan secara telus.
Kon Yeow ketika memberi respon kepada kenyataan Sanusi dalam polemik berpanjangan ‘Pulau Pinang milik Kedah’ itu membalas dengan memberitahu beliau sedia bertemu di mahkamah.
Pada 2021, Kerajaan Kedah menuntut RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan sebagai bayaran ‘pajakan’ bagi Pulau Pinang dan Seberang Perai, dengan bahawa jumlah itu tidak pernah dinilai semula sejak 1786. -BH Online
