Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 22 Disember – Malaysia menggesa Kemboja dan Thailand supaya mematuhi serta melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Damai Kuala Lumpur sebagai langkah penting bagi menamatkan ketegangan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gesaan itu turut merangkumi pematuhan terhadap Perjanjian Gencatan Senjata yang dimeterai pada 28 Julai lalu.

“Pengerusi menggesa kedua-dua pihak supaya melaksanakan sepenuhnya dan secara berkesan semua perjanjian serta Perjanjian Damai yang telah dimeterai.

“Sepanjang proses libat urus itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berhubung secara aktif dengan pemimpin ASEAN yang lain bagi menangani situasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand di ibu negara.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini amat berdukacita terhadap korban orang awam akibat konflik berpanjangan itu.

Konflik itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan, malah menyebabkan perpindahan dalaman yang signifikan dalam kalangan penduduk terjejas.

Beliau menegaskan situasi berkenaan perlu ditangani segera menerusi penyelesaian secara aman, selaras komitmen ASEAN terhadap keamanan dan kestabilan serantau.-Berita RTM