Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka lebih dua juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya sempena cuti sekolah, sambutan Krismas dan tahun baharu ini.

Susulan itu, Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran, berkata pengguna lebuh raya digalak merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Beliau berkata, PLUS juga menggalakkan orang ramai menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS bagi merancang waktu perjalanan dan hentian rehat. 

“Pemandu yang cukup rehat adalah kunci kepada perjalanan yang selamat.

“PLUS menyediakan kawasan rehat dan rawat (R&R) yang bukan sekadar tempat persinggahan, malah direka sebagai ruang mesra keluarga dengan kemudahan lengkap seperti tandas, surau, taman permainan kanak-kanak dan bilik persalinan bayi.

“Selain suasana selesa, R&R kita juga menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman daripada hidangan tempatan hingga jenama terkenal, menjadikannya tempat ideal untuk berehat dan mengumpul tenaga sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, hentian rehat amat penting khususnya bagi keluarga yang melakukan perjalanan bersama anak kecil, warga emas atau individu yang memerlukan rehat lebih kerap.

Beliau berkata, perjalanan bersama keluarga di lebuh raya juga boleh mencipta kenangan bermakna, sekali gus menjadi sebahagian pengalaman percutian yang berharga.

Sementara itu, pakar keibubapaan dan motivasi, Zaid Mohamad, berkata setiap perjalanan bersama keluarga berpotensi menjadi pengalaman bermakna jika dirancang dengan baik.

Beliau berkata, detik di jalan raya sering dipandang remeh, sedangkan ia mampu memberi impak yang sama besar dengan destinasi percutian itu sendiri.

“Perancangan awal bukan sekadar mengelak kesesakan lalu lintas, tetapi membolehkan ibu bapa memberi tumpuan kepada perkara paling penting iaitu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya.

Zaid berkata, perancangan rapi merangkumi pemilihan laluan, penyediaan bekalan makanan ringan, hiburan kanak-kanak serta penetapan lokasi rehat dapat mengurangkan tekanan dan menjadikan perjalanan sebagai pengalaman percutian yang menyeronokkan.

“Kembara di jalan raya bukan sekadar bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain, sebaliknya ia memberi peluang berbual, ketawa dan mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Zaid berkata, kesibukan harian anak yang terikat dengan sekolah, gajet dan aktiviti kokurikulum, menjadikan perjalanan bersama keluarga membuka ruang untuk interaksi lebih bermakna.

“Anak akan mengingati bagaimana mereka dihargai. Detik kecil seperti menyanyi dalam kereta atau berkongsi cerita mampu meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan mereka,” katanya.

Susulan itu, Zaid menasihatkan ibu bapa supaya kekal fleksibel dan bersabar, terutama ketika bercuti bersama anak kecil, kerana kelewatan atau perkara tidak dijangka adalah sebahagian daripada perjalanan.

“Sikap sabar ditunjukkan ibu bapa bukan saja menceriakan perjalanan, malah mengajar anak mengenai daya tahan dan kestabilan emosi,” katanya.-BH Online