BAGAN DATUK, 21 Disember – Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, langkah itu bertujuan memperkasa kualiti pendidikan tahfiz, selain menjadi mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi berkenaan.
Sebagai galakan kepada budaya kecemerlangan, 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM akan diberikan insentif RM50,000 setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan RM500,000.
“Ini bukan sekadar angka mahupun wang ringgit, tetapi suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus mempertingkat kualiti dan amalan terbaik agar dapat menjadi institusi cemerlang yang dapat kita ketengahkan sebagai model institusi tahfiz Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani” di Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.
Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 25,000 pelajar tahfiz dari seluruh negara, sekali gus mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan pendidikan tahfiz di Malaysia.-Berita RTM
