KUALA LUMPUR 21 Disember – Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok diharap menjadi wadah terbaik dalam usaha meredakan ketegangan yang timbul antara Kemboja dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap, agar kedua-dua negara tersebut dapat berunding secara terbuka dengan menyelesaikan perbezaan secara aman, serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar menerusi hantaran laman Facebook memaklumkan, beliau berkesempatan menghubungi Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah penyelesaian secara aman demi memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini.
“Saya menegaskan pentingnya untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya.-Berita RTM
