KUALA LUMPUR, 21 Disember – Kerajaan berjaya menjimatkan RM800 juta menerusi pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak ia dilaksanakan hingga kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata Kerajaan MADANI telah mengambil langkah berani menerusi BUDI95 bagi memastikan subsidi ini hanya dinikmati rakyat Malaysia, dan tidak terus dinikmati lebih 3.5 juta warga asing serta puluhan ribu liter yang diseludup ke luar negara.
“Setiap hasil penjimatan itu dipulangkan semula kepada penduduk melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Selain digunakan bagi menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan sejak lebih 20 tahun oleh kerajaan terdahulu, namun tiada yang mempunyai keberanian serta tekad politik untuk melaksanakannya.-Berita RTM
