Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAPAR, 20 Disember – Usaha membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat terus dipergiat menerusi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas dan juga program khas PJRM Kembali ke Sekolah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan kedua-dua PJRM ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup secara menyeluruh, terutama ketika musim perayaan dan fasa peralihan penting seperti permulaan tahun persekolahan.

PJRM Krismas yang dilaksanakan di 875 lokasi di seluruh negara selama 10 hari hingga 27 Disember depan membolehkan orang ramai, khususnya yang meraikan Krismas mendapatkan barangan keperluan perayaan pada harga yang lebih rendah.

PJRM Kembali ke Sekolah pula dilaksanakan sepanjang cuti persekolahan dari 20 Disember hingga 11 Januari tahun depan bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa yang melakukan persediaan menjelang sesi persekolahan baharu.

Program ini memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, alat tulis dan barangan asas lain yang diperlukan oleh pelajar dan ibu bapa.

“Kalau PJRM ‘Back to School’ ini sebahagian besarnya kita laksanakan di premis-premis pasar raya dan kedai pakaian untuk memastikan bekalan mencukupi.

“Program-program ini telah kita institusikan untuk membolehkan rakyat mempunyai alternatif untuk berbelanja di kedai-kedai bawah program PJRM pada harga diskaun,” katanya.

Datuk Armizan berkata demikian dalam sidang media selepas Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas & Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di sini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi dan takwim PJRM di laman sesawang rasmi KPDN.-Berita RTM