KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang berdepan konflik rumah tangga digalakkan mendapatkan bantuan melalui saluran yang sah dan pihak diamanahkan tanggungjawab itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata sebarang usaha yang secara langsung atau tidak langsung memudahkan perceraian tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan yang tersusun, berisiko membiasakan perceraian sebagai jalan pintas.
“Ia sekali gus meremehkan nilai kesabaran dan tanggungjawab yang digariskan dalam ajaran Islam.
“Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, sebaliknya pasangan yang berdepan krisis rumah tangga perlu digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran sah dan berkuasa melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti ‘Coach Cerai’, menarik perhatian masyarakat dan menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga dan krisis perkahwinan.
Zulkifli berkata, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagai pihak berkuasa agama Islam sudah menyediakan khidmat runding cara dan nasihat kepada pasangan suami isteri melalui kaunselor bertauliah serta Pegawai Hal Ehwal Islam yang berkuasa.
“Penyelesaian konflik rumah tangga hendaklah dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah, merangkumi nasihat, proses sulh.
Perlu juga ada pelantikan orang tengah daripada kedua-dua keluarga serta bimbingan kaunseling yang berlandaskan nilai syariah, sebelum sebarang keputusan besar seperti perceraian dibuat.
“Khidmat ini boleh diperoleh di Pejabat Agama Islam Negeri dan Mahkamah Rendah Syariah Negeri,” katanya.
Tambah beliau, antara inisiatif yang disediakan ialah seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi KSKCareCentre (KSKCC) yang menawarkan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah.
Ini bagi membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi serta mencari penyelesaian yang adil dan seimbang.
Selain itu, katanya, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga menyediakan Kursus Pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan untuk mengukuhkan kefahaman terhadap tanggungjawab dan hikmah perkahwinan serta keharmonian rumah tangga.
Sehubungan itu, Zulkifli menegaskan, semua pihak perlu menghormati proses undang-undang, menjaga adab dan etika dalam perbincangan serta mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan maruah individu dan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, kerajaan dan Agensi Hal Ehwal Agama sentiasa komited memperkukuh program pendidikan keluarga, kaunseling dan advokasi kekeluargaan selaras prinsip Maqasid Syariah dan aspirasi Malaysia MADANI.
“Semua pihak diminta berhati-hati dalam menggunakan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam masyarakat.
“Ini bagi memastikan institusi keluarga kekal sebagai teras utama kesejahteraan ummah dan pembangunan negara,” katanya.-BH Online
