Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 20 Disember– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena sambutan Krismas, 25 Disember ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan, pelaksanaanya bermula pada 23 Disember hingga 27 Disember 2025, menawarkan pengguna menikmati harga barangan keperluan yang lebih berpatutan.

“Pelaksanaan skim selama lima hari itu merangkumi dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.”

“Sebanyak 14 jenis barangan dikenal pasti dan dikawal harga termasuk daging kambing biri-biri import, sayur-sayuran terpilih, ayam serta produk babi yang terhad kepada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” kata kenyataan itu.

Jelas KPDN, penentuan senarai barangan dan paras harga maksimum dibuat berdasarkan faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, keadaan cuaca serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh skim.

Penguatkuasaan akan dilaksanakan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah, dengan pendekatan pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga.

Peniaga juga diwajibkan menggunakan label harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, dengan tindakan tegas menanti pihak yang gagal mematuhi peraturan.

Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas di 875 lokasi seluruh negara serta Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) melibatkan 115 bengkel terpilih sepanjang tempoh sama.-Berita RTM