Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 20 Disember – Penjelasan berhubung isu hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel yang tidak melanggar syarat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), wajar dihormati dan dijadikan panduan bersama.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan di peringkat lapangan kekal konsisten serta tidak mengelirukan pengusaha dan pengguna.

Beliau merujuk kepada penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

“Berhubung isu berkaitan hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel, Dr Zulkifli Bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperjelaskan bahawa hiasan bertemakan sambutan Hari Natal tidak melanggar syarat pensijilan halal JAKIM.

“Sehubungan itu, proses dan prosedur kerajaan di semua peringkat perlu dipermudahkan serta diselaraskan supaya peniaga di Malaysia dapat beroperasi dengan lebih jelas tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang berbeza.

“Kini tiba masanya kita memastikan perniagaan Malaysia dapat terus maju tanpa mengira kaum, agama, negeri, dan wilayah, termasuk dalam sektor makanan dan
hotel yang melibatkan banyak PMKS Malaysia.

“Ini merupakan sebahagian Strategi ABCD yang dilaksana oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), iaitu anjakan produktiviti, birokrasi dipermudahkan, capaian modal serta daya akses pasaran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.-Berita RTM