Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA, 19 Disember – Kurikulum Prasekolah 2026 akan memberi penekanan khusus kepada amalan membaca sebagai usaha memperkukuh literasi awal kanak-kanak, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata inisiatif itu merangkumi pewujudan ruang membaca khas di prasekolah bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak sejak awal usia.

Beliau berkata tradisi memegang buku dan membaca kekal relevan serta perlu terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif termasuk program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang akan diperkukuh pada tahun hadapan.

“Saya mengambil kira beberapa agenda negara yang menitikberatkan soal keilmuan, termasuk usaha mengangkat kembali teras-teras utama keilmuan seperti budaya membaca.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Kota Buku atas komitmen dan kejayaan pelaksanaan Baucar Buku MADANI, yang saya lihat antara projek paling berjaya serta mendapat sambutan baik daripada murid dan guru, khususnya dalam memastikan amalan membaca dapat diteruskan dan menjadi sebahagian daripada tradisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kota Buku 2025 di Cyberjaya, yang mengetengahkan pencapaian Perbadanan Kota Buku (PKB) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membangunkan prasarana dan pelaksanaan program bacaan secara tersusun.

Dalam pada itu, beliau berkata pada 2026, tumpuan akan diberikan kepada beberapa agenda berkaitan industri buku, selain memanfaatkan teknologi digital secara beretika bagi memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti.

Malam Kota Buku 2025 turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan kepada pemain industri, sekolah, komuniti bacaan dan rakan strategik dalam ekosistem perbukuan bagi menggalakkan kecemerlangan dan kerjasama rentas sektor.-Berita RTM