Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, akan terus memantau serta menangani situasi bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh di Indonesia.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata setakat semalam Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia melaporkan seramai 1,071 penduduk terkorban, manakala 185 masih dilaporkan hilang dan lebih 525,868 terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Katanya, kerajaan Indonesia menganggarkan kos keseluruhan bagi proses pemulihan dan pembinaan semula kerosakan melebihi RM12.7 bilion (51.82 trilion rupiah) bagi ketiga-tiga wilayah yang terjejas.

“Buat masa ini, kerajaan Republik Indonesia menyatakan pihaknya masih mampu menangani bencana ini dalam kapasiti nasional.

“Setakat semalam tujuh rakyat Malaysia dikenalpasti terkandas semasa kejadian banjir ini, di mana seorang lagi masih hilang manakala enam yang lain selamat pulang ke Malaysia,” katanya selepas Program Khatan Perdana Taman Pinggiran Senawang di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata operasi pencarian masih lagi diteruskan bagi mengesan mangsa hilang, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang kini memasuki hari ke-23.

Katanya, setakat 16 Disember lalu, Education Malaysia di Jakarta melaporkan seramai 49 pelajar Malaysia berada di Provinsi Aceh dan daripada jumlah itu, 24 masih berada di situ manakala selebihnya sudah selamat pulang ke Malaysia.

“Pelajar Malaysia di Provinsi Aceh berada dalam keadaan selamat dan bantuan kewangan sebanyak RM500 menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi kepada 56 pelajar Malaysia yang terkesan di Indonesia telah diserahkan melalui Yayasan Perkasa Siswa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia bersedia menghulurkan bantuan jika diperlukan, namun setakat ini negara jiran terbabit merasakan mereka mampu menanganinya dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, dengan kedudukan sempadan negara yang berhampiran, bantuan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah pun bermula tetapi bukan atas kapasiti jentera kerajaan.

“Ramai sukarelawan kita tampil membantu macam MERCY, mereka bersedia. Bahkan mereka dah ada di sana pun dengan kehadiran pakar-pakar perubatan atas kapasiti sebagai NGO…bukan kerajaan,” katanya.-BH Online