Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Setakat 2 petang hari ini, kontinjen Malaysia mengutip 51 emas, 51 perak dan 110 gangsa.

Menurut Taufiq, kejayaan berkenaan membuktikan keupayaan atlet negara yang terus mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang temasya dwitahunan itu.

“Ini satu pencapaian yang amat-amat membanggakan dan kita harap insya-Allah kita akan capai lebih hebat lagi.

“Kita juga sudah capai sasaran yang ditetapkan sebanyak 200 pingat.

“Saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada semua wira-wirawati atlet kita yang bertungkus lumus, pada semua sekretariat dan juga kepada semua Team Malaysia yang membanggakan, mengharumkan nama negara kita.

“Insya-Allah kita akan buat persiapan yang hebat untuk Sukan SEA yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan final membabitkan atlet skuasy negara serta menyempurnakan acara pemberian pingat di Kolej Vajiravudh, hari ini.

Mengulas kemungkinan kontinjen negara mampu melepasi kutipan 54 pingat emas, Taufiq berkata, pihaknya akan terus meletakkan kepercayaan penuh kepada atlet dan barisan kejurulatihan.

“Kita akan cuba yang terbaik dan kita letakkan harapan, kepercayaan kepada atlet kita dan juga kepada pasukan secara keseluruhannya,” katanya.-BH Online