Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh kepada paras 4.07 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Jumaat, paras yang paling kukuh dalam tempoh hampir enam tahun susulan data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0740/0785 berbanding dolar AS daripada 4.0840/0880 ketika ditutup pada Khamis.

Paras ini kali terakhir dicatatkan pada 15 Januari 2020 apabila ringgit ditutup pada 4.0740 berbanding dolar AS.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata bacaan terkini Indeks Harga Pengguna (IHP) AS semalam menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) mungkin cenderung untuk menurunkan kadar faedah seterusnya pada 2026.

“Sekiranya itu berlaku, jurang antara Kadar Dana Fed dan kadar dasar semalaman (OPR) akan mengecil,” katanya kepada Bernama.

Inflasi AS pada November mencatatkan angka di bawah jangkaan iaitu 2.7 peratus berbanding dengan anggaran konsensus sebanyak 3.1 peratus.

Inflasi teras pula menurun kepada 2.6 peratus berbanding 3.0 peratus pada September.

Sementara itu, kata Mohd Afzanizam, Bank of Japan menaikkan kadar dasarnya hari ini sebanyak 25 mata asas kepada 0.75 peratus yang tertinggi dalam tempoh tiga dekad.

“Namun begitu, yen Jepun terus melemah berbanding dolar AS,” tambahnya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh sedikit berbanding euro kepada 4.7715/7767 daripada 4.7869/7915 ketika ditutup pada Khamis, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5909/5940 daripada 2.6188/6217 tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.4514/4574 daripada 5.4513/4567.

Mata wang tempatan juga diniagakan lebih tinggi berbanding rakan-rakan ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1515/1553 daripada 3.1620/1653, berkembang berbanding baht Thai kepada 12.9428/9620 daripada 12.9750/9935, naik berbanding peso Filipina kepada 6.94/6.95 daripada 6.97/6.98 dan sedikit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 243.2/243.6 daripada 244.2/244.5.-BERNAMA