KUALA LUMPUR, 18 Disember – Skim Kemalangan Bukan Bencana (SKBBK) yang merupakan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) diperkenalkan bagi memberikan perlindungan 24 jam kepada semua pekerja, termasuk pekerja asing.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R. Ramanan berkata skim tersebut tiada had umur dan pekerja akan terus dilindungi selagi masih bekerja, walaupun telah melebihi umur 60 tahun.
“SKBBK tidak mempunyai kesan retrospektif; ia hanya melindungi kemalangan yang berlaku selepas tarikh kuat kuasa Rang Undang-Undang ini,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja 2025 di Dewan Negara, di sini hari ini.
Tambah R.Ramanan, SKBBK hanya mengambil kira kemalangan yang berlaku di dalam negara selepas penguatkuasaan skim, termasuk siasatan dan pelaksanaan di bawah undang-undang negara.
Pengecualian diberikan sekiranya pekerja dihantar ke luar negara atas urusan rasmi majikan.
Skim berkenaan masih terpakai sepanjang tempoh tugasan pekerja, termasuk aktiviti harian seperti keluar makan berhampiran tempat penginapan selepas waktu kerja.
“Namun, jika berlaku kemalangan semasa aktiviti peribadi yang tidak berkaitan tugasan rasmi seperti bersiar-siar, membeli-belah atau melancong, perlindungan adalah tidak terpakai,” jelas beliau.
Menurut R. Ramanan, perlindungan di bawah SKBBK juga tertakluk kepada siasatan lanjutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengikut undang-undang sedia ada.
Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja 2025 diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 11 senator.-Berita RTM
