Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NILAI: Malaysia masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji 2026 berikutan keputusan negara itu untuk mengekalkan kuota sebanyak 31,600 jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kuasa mutlak bagi menentukan keputusan berkenaan terletak kepada kerajaan Arab Saudi namun pihaknya berharap ia mendapat kelulusan.

“Setakat ini, Kerajaan Arab Saudi belum memberi maklum balas, jangkaan (tempoh menerima kelulusan) pun kita tidak pasti kerana ini adalah kuasa ataupun prerogatif daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Tapi kita doakan apa yang kita boleh jamin adalah kepada semua, setiap kuota yang diberikan itu kita akan penuhi 100 peratus kerana menjadi amalan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memenuhi kuota tambahan sekiranya diberikan,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Jenayah Syariah Kalangan Belia 2025, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan Naib Canselor USIM, Datuk Dr Sharifuddin Md Shaarani serta Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Alimi Mohamad.

Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan menjangkakan bilangan jemaah haji negara akan bertambah pada masa depan berbanding kuota 31,600 yang diberikan Arab Saudi ketika ini.

Beliau berkata, jangkaan itu dapat dicapai selepas selesainya projek kerajaan Arab Saudi dalam meluaskan Masjidil Haram.

Dalam pada itu, katanya, menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan TH, setakat ni hanya 18 peratus saja bakal jemaah haji yang menangguhkan atau menunda tawaran untuk menunaikan ibadat haji berbanding 50 peratus sebelum ini.

“Alhamdulillah, setakat ini hanya 18 peratus saja yang menangguhkan, bagaimanapun kita memaklumkan lebih awal supaya memastikan pendeposit ini mempunyai jumlah simpanan mencukupi.

“Selain itu, kita juga berharap bakal haji memberi penekanan kepada menjaga kesihatan bagi memastikan hasrat menunaikan haji tidak terjejas,” katanya.-BH Online