KUALA LUMPUR, 18 Disember – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluas penggunaan Bilik Darjah Dikuasai Kecerdasan Buatan (AI Powered Classroom) secara berfasa ke 260 sekolah di seluruh negara pada 2026.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ia sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan digital dan meningkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran.
Inisiatif itu dimulakan secara rintis di 27 buah sekolah tahun ini dan akan dilaksana secara menyeluruh menjelang 2030.
“Bilik Darjah Dikuasai Kecerdasan Buatan diperkenalkan secara berfasa. Secara rintis, ia telah dilaksanakan di 27 sekolah pada 2025, dijangka diperluaskan ke 260 sekolah pada 2026, dan akhirnya ke semua sekolah menjelang 2030.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa murid melalui pembelajaran adaptif serta menyokong guru melalui automasi tugasan dan analitik pembelajaran, dengan sokongan kerjasama strategik 24 syarikat teknologi utama termasuk Google, Microsoft, Apple, Intel, Huawei, Samsung dan MDEC,” katanya bagi menjawab soalan Senator Dr. Jufitri Joha di Parlimen.
Bagaimanapun jelasnya, guru kekal sebagai teras utama proses pengajaran dan pembelajaran.
Teknologi, termasuk AI, berfungsi sebagai alat sokongan yang membantu guru menguruskan tugasan, menganalisis prestasi murid dan menyediakan pendekatan pembelajaran adaptif, tetapi tidak menggantikan interaksi langsung antara guru dan pelajar. -Berita RTM
