Aktiviti kokurikulum bukan sekadar pelengkap kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk jati diri,nilai kepimpinan dan keupayaan pelajar untuk berfungsi secara efektif dalam masyarakat serta dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penglibatan aktif dalam kokurikulum mampu menyokong pembangunan pelajar secara holistik merangkumi aspek akademik, sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah, sekali gus melahirkan kepimpinan masa hadapan yang berdaya saing serta berintegriti.
“Kami cuba menghubungkan aktiviti kurikulum dan kokurikulum secara bersepadu bagi memastikan pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar dapat dilaksanakan dengan seimbang.
“Pendekatan ini penting bagi melahirkan insan yang menyeluruh, agar mereka tidak berkembang secara terasing dari dimensi kehidupan tanpa keseimbangan yang diperlukan untuk memacu masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Kokurikulum Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Auditorium Utama UIAM di sini.
Pada majlis sama, turut diadakan sesi Telaah Buku bertajuk ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Post-Normal Times’ karya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai medan wacana intelektual penting dalam membincangkan isu kepimpinan, reformasi dan keadilan sosial.
Datuk Seri Dr Zambry menegaskan, budaya ilmu danpemikiran kritikal perlu terus disuburkan dalam kalangan mahasiswa agar golongan itu mampu memahami realiti semasa serta menyumbang secara konstruktif kepada pembangunan negara berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga merupakan alumni UIAM.-Berita RTM
