Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited dalam meneruskan pelaksanaan projek strategik berskala besar selain meneruskan projek penyuraian trafik dan naik taraf jalan utama di Semenanjung.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pelaksanaan projek itu penting bagi mengukuhkan jaringan perhubungan, meningkatkan mobiliti rakyat serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat dan pemain industri tempatan.

Beliau berkata, projek berskala besar itu termasuk Lebuh raya Pan Borneo Sabah, Sabah-Sarawak Link Road dan Lebuh raya Trans Borneo. 

“Kita mahu meneruskan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Ia dilaksanakan sepanjang tahun ini termasuk pembinaan dan naik taraf jalan persekutuan, penyelenggaraan serta pembaikan jambatan, dan peningkatan fasiliti awam di seluruh negara bagi meningkatkan keselamatan, aksesibiliti dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025 (AMP 2025), di sini hari ini. 

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen, Azhari Muhidin. 

Pada acara Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025, wakil Media Prima Bhd (MPB) merangkul tiga anugerah membabitkan pereka grafik dari Harian Metro, Nor Salim Mohamed Dawam dan Mohd Jamilul Anbia Md Denin yang memenangi tempat ketiga kategori Infografik Pegun. 

Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 dan sijil. 

Bagi kategori Anugerah Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian- Laporan Khas dan Dokumentari, TV3 memenangi tempat ketiga melalui laporan ‘Tragedi Paip Gas’ dan tempat kedua melalui laporan ‘Rumah Modular Kediaman Masa Depan’. 

Pada masa sama, Alexander berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperkenalkan Kad Hijau CIDB versi baharu bagi personel tapak binaan. 

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan hanya tenaga kerja yang berdaftar, terlatih dan mematuhi standard keselamatan dibenarkan bekerja di tapak binaan. 

“Ia sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan profesionalisme industri pembinaan negara,” katanya. 

Sementara itu, Alexander berkata, media memainkan peranan yang amat strategik dalam menyokong pelaksanaan dasar dan hala tuju sektor pembinaan yang digariskan oleh Kementerian Kerja Raya dan CIDB. 

Beliau berkata, melalui laporan yang tepat, seimbang dan bertanggungjawab, media membantu memastikan dasar, peraturan serta inisiatif kerajaan difahami dengan jelas oleh pemain industri dan masyarakat umum. 

“Dalam konteks sektor pembinaan yang membabitkan kepentingan awam serta dikawal selia secara ketat, liputan media yang berkualiti menjadi pemangkin kepada pematuhan piawaian keselamatan, kualiti kerja dan amalan pembinaan mampan,” katanya.-BH Online