SERDANG, 18 Disember – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan implantasi pertama Peranti Bantuan Ventrikel Kiri (LVAD) dalam sistem kesihatan awam negara di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), di sini, pada 10 Disember lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata prosedur berkenaan merupakan kali pertama implantasi seumpamanya dijalankan di fasiliti KKM, melibatkan penggunaan peranti HeartMate 3 dan dilaksanakan sepenuhnya oleh pasukan klinikal multidisiplin tempatan.
Prosedur itu dilakukan ke atas seorang pesakit lelaki berusia 57 tahun yang menghidap kegagalan jantung tahap akhir.
“Pesakit yang dipilih adalah individu yang benar-benar memerlukan peranti ini bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Dzulkefly, pembedahan tersebut mengambil masa kira-kira lima jam dan berjaya diselesaikan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi.
Beliau berkata, pesakit juga telah berjaya dihentikan sepenuhnya daripada sokongan inotropik dan kini sedang menjalani sesi fisioterapi.
Tambahnya, kos peranti LVAD mencecah kira-kira RM680,000, manakala jumlah keseluruhan kos prosedur dianggarkan sekitar RM800,000.
“Walaupun kosnya tinggi, LVAD ini masih dianggap oleh komuniti kardiologi sebagai antara pilihan rawatan yang paling kos efektif,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Dr. Dzulkefly sebarang keputusan untuk memperluaskan penggunaan LVAD sebagai dasar nasional bergantung kepada hasil analisis dan penilaian lanjut, khususnya terhadap kualiti hidup pesakit selepas menjalani prosedur tersebut.
Sementara itu, pakar kardiologi, Dr K. Sethujanatran berkata pesakit berkenaan dipilih kerana berada pada tahap kegagalan jantung paling kritikal selepas hampir semua pilihan rawatan lain gagal.
“Pesakit berada di peringkat akhir, dengan hampir semua rawatan lain telah digunakan,” katanya sambil menambah bahawa pesakit tersebut telah menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) selama hampir tiga bulan sebelum dipilih untuk menjalani implantasi LVAD.-Berita RTM
