KUALA LUMPUR, 18 Disember – Kerajaan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan strategi jangka panjang bagi merapatkan jurang pendapatan serta memperluas peluang pekerjaan berpendapatan tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar menerusi kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagi tujuan itu kementeriannya telah menggariskan pendekatan menyeluruh yang menekankan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berkualiti.
Tumpuan terarah kepada tiga fokus utama, iaitu menaikkan siling, memantapkan tadbir urus serta menaikkan lantai.
“RMK13 merangka pelbagai inisiatif untuk merapatkan jurang pembangunan dan menambah peluang pekerjaan. Antara inisiatif tersebut ialah memacu pertumbuhan baharu berasaskan potensi tempatan, menekankan pelaburan dalam pendidikan, menyokong usahawan muda, menambah baik perkhidmatan desa untuk mengurangkan migrasi ke bandar, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi di koridor wilayah,” jelas beliau ketika menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong di Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut katanya kerajaan turut memberi jaminan pembangunan ekonomi akan dilaksanakan seiring dengan penyediaan kemudahan asas dan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan serta kelangsungan penduduk luar bandar.
“Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 bilion untuk Dana Infrastruktur Asas, melibatkan perbelanjaan pembangunan kepada negeri-negeri kurang membangun, peningkatan sebanyak lima peratus berbanding tahun 2025,” tambah beliau.
Peruntukan tersebut merangkumi 242 projek bekalan air luar bandar serta 32 projek bekalan elektrik luar bandar, yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa.-Berita RTM
