Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5.6 juta orang menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan dicatatkan setakat ini dengan jumlah kelayakan keseluruhan bagi 2025 mencecah RM5 bilion, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, sehingga semalam, hampir 5.6 juta penerima SARA termasuk rayuan baharu yang diluluskan, sudah menggunakan MyKad bagi pembelian barangan asas di premis berdaftar yang mencerminkan kadar penggunaan 99 peratus dan perbelanjaan berjumlah RM4.59 bilion.

“Bagi Penghargaan SARA ‘one-off’ (bayaran secara sekali) kepada lebih 22 juta rakyat dewasa pula menyaksikan lebih 20 juta penerima berbelanja atau mewakili 92 peratus daripada keseluruhan bilangan penerima dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai langkah jangka panjang Kementerian Kewangan (MOF) dalam memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dijalankan tanpa isu teknikal berkaitan penyalahgunaan MyKad untuk bantuan SARA.

Amir Hamzah berkata, kapasiti sistem pembayaran SARA sudah melalui usaha penambahbaikan ketara untuk menangani lonjakan transaksi susulan pelaksanaan Penghargaan SARA dan bantuan SARA bulanan bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah. 

“Berdasarkan prestasi semasa pelaksanaan SARA, transaksi seminit adalah 7,000 berbanding 2,700 seminit sebelum ini dan akan mencecah 10,000 transaksi seminit selepas penambahbaikan ke atas sistem pada akhir 2025.

“Ketika ini, purata transaksi seminit adalah 1,000 mengambil kira kestabilan sistem dan pembelian dibuat penerima,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan juga tidak melihat sebarang cabaran ketara dari segi penggunaan SARA, memandangkan kadar penggunaannya yang tinggi setakat ini.

“Bagi perbelanjaan bulanan SARA, baki kredit tidak boleh dibawa ke tahun depan, namun memandangkan tahap penggunaan melebihi 90 peratus, perkara itu dijangka tidak menimbulkan sebarang isu,” katanya. – BERNAMA