PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan diadakan pada 22 Disember ini akan berlangsung di Kuala Lumpur, bagi membantu meredakan ketegangan konflik di sempadan Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat yang dijadualkan itu membolehkan ASEAN bermesyuarat secara kolektif, mengenal pasti fakta sebenar di lapangan serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak supaya menghentikan serangan, bermula dengan gencatan senjata segera.
Katanya, kedua-dua sudah menyatakan persetujuan untuk menghadiri mesyuarat khas berkenaan.
“Kami merayu supaya mereka segera menghentikan serangan di barisan hadapan dan jika boleh melaksanakan gencatan senjata serta-merta.
“Mereka tidak gemar menggunakan istilah gencatan senjata kerana ia membawa maksud persetujuan. Jadi, jika dilihat kenyataan saya, saya menggesa pihak terbabit supaya mematuhi satu gencatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Perdana Menteri Besama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan (GE) Berita Harian (BH), Zulkifli Jalil.
Media sebelum ini melaporkan mesyuarat khas yang sepatutnya berlangsung semalam, ditangguhkan.
Difahamkan, penangguhan itu diminta oleh kedua-dua negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan ‘arahan’ kepada menteri-menteri luar, namun menegaskan pemimpin dan menteri ASEAN sentiasa berhubung secara kerap ketika libat urus diteruskan di pelbagai peringkat.
“Saya tidak memberi arahan kepada menteri-menteri luar, tetapi anda dapat lihat kami berkomunikasi hampir setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan mesyuarat itu dibuat susulan rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja, selain dimaklumkan mengenai perkembangan isu berkenaan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Presiden Trump menelefon dan memaklumkan saya. Saya memberitahu beliau bahawa adalah penting untuk meyakinkan mereka supaya menghentikan serangan,” katanya.
Anwar berkata, walaupun tarikh mesyuarat sudah dipersetujui, kedua-dua Perdana Menteri sebelum ini menasihatkan supaya rundingan tidak diadakan terlalu awal sekiranya ketegangan di lapangan masih belum reda.
“Dalam kalangan pihak yang bertelagah, sukar untuk mendapatkan mereka duduk berbincang. Dalam kes ini, kerana ia dimulakan oleh Malaysia dan ASEAN, mereka bersetuju untuk hadir pada 22 Disember ini,” katanya.-BH Online
