Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap anggota Kabinet terus bekerja dengan disiplin dan berkhidmat dengan penuh kerendahan hati.

Perdana Menteri berkata, ini bagi memastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan.

“Ini adalah Kabinet penerus kehendak rakyat yang memikul amanah besar, menuntut tindakan segera, keputusan berani serta keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat.

“Ia supaya menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet MADANI, hari ini.

Mesyuarat itu diadakan selang beberapa jam selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara, pagi tadi.

Terdahulu, tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.

Ia membabitkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Selain itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.-BH Online