Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Media berperanan menghubungkan dasar yang digubal kerajaan melalui kementerian dengan realiti sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi termasuk di sekolah dan kalangan komuniti. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pelaporan media termasuk di kawasan pedalaman dan pulau di seluruh negara, membawa situasi sebenar kembali ke pengetahuan kerajaan termasuk kementeriannya.

Pada masa sama, katanya, kritikan berfakta dan membina oleh pihak media dilihat bukanlah sebagai satu ancaman, sebaliknya ia menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam sistem demokrasi sihat. 

“Ia perlu diterima dengan hati terbuka kerana daripada situlah penambahbaikan boleh dilakukan.

“Mana-mana pemimpin perlu berdepan perkara ini dengan matang dan berani memberi jawapan,” katanya pada Majlis Jalinan KPM-Media, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Menteri, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Datuk Dr Aminuddin Hassim, dan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad. 

Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil.

Fadhlina berkata, reformasi pendidikan, memerlukan ketekunan, kejujuran serta keberanian untuk berdepan cabaran dan tekanan, termasuk kesan pasca pandemik serta isu keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan.

Beliau berkata, ia didasari prinsip keadilan, merangkumi keadilan akses pendidikan untuk murid di bandar dan pedalaman, golongan kurang berkemampuan serta sokongan berterusan kepada guru yang memikul amanah besar dalam membentuk masa depan generasi muda.

Katanya, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan bukan sahaja menumpukan usaha memulihkan sistem, sebaliknya membina semula kepercayaan dalam kalangan murid, ibu bapa dan masyarakat terhadap institusi pendidikan.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menyatakan kesyukuran berikutan masih diberi kepercayaan meneruskan amanah sebagai anggota Jemaah Menteri, susulan pengumuman rombakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Pada masa, beliau menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh agenda reformasi pendidikan negara.

“Kepercayaan Perdana Menteri itu akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif pendidikan dilaksanakan dengan lebih berkesan, berteraskan prinsip keadilan, kejujuran dan kepentingan terbaik murid, guru serta seluruh ekosistem pendidikan,” katanya.-BH Online