Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: IHH Healthcare Malaysia memperbaharui ikrar sokongannya terhadap hala tuju Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan berjanji untuk bergerak seiring agenda nasional bagi mewujudkan penjagaan kesihatan yang lebih mampu milik, bersifat pencegahan dan mapan. 

Sebagai antara penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar negara yang merangkumi rangkaian Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court, IHH memposisikan rangkaian hospitalnya bukan sekadar penyedia perkhidmatan, tetapi rakan kongsi strategik dalam ekosistem kesihatan negara bagi melengkapkan sistem awam.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa reformasi kesihatan negara kini dibina atas tiga tonggak utama iaitu kemampuan, pencegahan dan perkongsian yang tidak boleh dicapai menerusi sistem awam secara bersendirian.

Beliau menyifatkan penyedia penjagaan kesihatan swasta seperti IHH memainkan peranan penting dalam menawarkan pilihan kos efektif serta berinovasi dalam model penjagaan bagi membantu kerajaan menjangkau lebih ramai rakyat dengan pantas tanpa mengkompromikan kualiti rawatan.

Bagi merealisasikan hasrat itu, inisiatif Value-Driven Outcomes (VDO) IHH kini menjadi teras penyelarasan syarikat dengan agenda KKM, yang secara sistematik menghubungkan hasil rawatan dengan kos dan kualiti merentasi prosedur bervolum tinggi. 

Melalui penggunaan data klinikal dan kos yang terperinci, hospital di bawah naungan kumpulan itu berjaya meningkatkan pengesanan awal dalam kolonoskopi dan mempercepatkan pemulihan selepas penggantian lutut penuh, sekali gus membuktikan sektor swasta mampu memberikan hasil lebih baik dengan penggunaan sumber yang lebih cekap.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata komitmen syarikat adalah untuk menjadikan rawatan lebih mampu milik dan mencegah penyakit sebelum ia bermula, selari dengan peranan mereka sebagai rakan jangka panjang dalam perjalanan kesihatan Malaysia. 

“Kumpulan berhasrat menggunakan kapasiti dan keupayaan sedia ada untuk menyokong sistem awam di kawasan yang paling memerlukan, memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai bukti kerjasama erat awam-swasta, IHH bersama KKM telah memperluaskan akses rawatan kanser menerusi program Life Renewed yang menaja radioterapi dan radiosurgeri bagi pesakit dari hospital kerajaan di fasiliti IHH yang dilengkapi teknologi canggih seperti Linear Accelerator dan Gamma Knife. 

Program yang telah diperbaharui sebanyak dua kali sejak dilancarkan pada 2022 ini mencerminkan strategi kanser nasional yang memfokuskan kepada pengembangan akses rawatan sambil mengurangkan tekanan di fasiliti awam.

Selaras dengan keutamaan reformasi nasional, IHH juga sedang giat membangunkan pusat jagaan ambulatori bagi mendekatkan perkhidmatan yang sesuai ke kawasan kediaman dan tempat kerja masyarakat. 

Langkah ini sejajar dengan arahan KKM untuk pengurusan kos penjagaan kesihatan yang lebih baik dengan membolehkan prosedur seperti pembedahan katarak dan endoskopi dijalankan secara rawatan harian tanpa memerlukan kemasukan ke wad yang tidak perlu.

Dalam konteks ini, Hospital Gleneagles Johor yang menyambut ulang tahun ke-10 baru-baru ini muncul sebagai model praktikal penjagaan kesihatan masa depan di Malaysia yang menggabungkan penjagaan berasaskan nilai dan teknologi termaju. Hospital itu kini menjadi hospital utama bagi program VDO IHH dengan menerapkan prinsip berasaskan nilai dalam prosedur volum tinggi, selari dengan pendekatan KKM yang memberi penekanan kepada kualiti dan hasil rawatan.

Hospital berkenaan turut menerajui pembedahan invasif minimum dan termaju, termasuk prosedur berbantu robotik yang membantu mengurangkan kesakitan, memendekkan tempoh tinggal di hospital dan menyokong pemulihan lebih pantas. Keupayaan fasiliti itu diperkasakan dengan imbasan PET digital pertama di Malaysia menggunakan teknologi isotop radio gallium bagi pengesanan penyakit yang lebih tepat, selain sistem robotik seperti da Vinci, Monalisa dan CORI.

Selain aspek klinikal, Hospital Gleneagles Johor menekankan kelestarian alam sekitar dengan menjadi hospital IHH pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan Boomgrow untuk mewujudkan ladang bandar dalam kawasan hospital. Hasil tanaman segar digunakan untuk hidangan pesakit dalam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar dan dijangka menurunkan pelepasan karbon sebanyak 11.68 tan setahun.

Dari sudut pembangunan modal insan komuniti, hospital itu sejak 2022 bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti Universiti Nilai untuk menaja pelajar kejururawatan daripada keluarga B40 dengan menanggung sepenuhnya yuran pengajian serta menjamin pekerjaan selepas tamat belajar. 

Setakat ini, lebih 160 pelajar telah menerima tajaan bagi memastikan kesinambungan bakat kejururawatan di wilayah selatan tanah air.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor, Sipika Singh berkata pesakit bergerak daripada peringkat saringan ke diagnosis hingga rawatan melalui satu laluan yang terhubung dan dipandu oleh piawaian konsisten. 

Menurutnya, hospital berpegang kepada standard sama tanpa mengira latar belakang pesakit, dengan fokus utama diberikan kepada keselamatan dan hasil klinikal terbaik.-BH Online