IPOH: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu pentadbiran kerajaan di peringkat negeri menjadikan usaha pemantapan agenda pembangunan luar bandar dilihat dengan cakupan lebih luas dan tidak terikat kepada bidang kuasa tradisi semata-mata.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelbagai isu mungkin tidak terletak secara langsung di bawah portfolio kementerian itu, namun tetap berkait rapat dengan kesinambungan pembangunan luar bandar dan masa depan masyarakat desa.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata antara lain isu itu termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan industri halal serta pengurusan bencana.
Susulan itu, katanya, EXCO kerajaan negeri yang memegang portfolio Luar Bandar perlu memperkukuh kerjasama rentas jabatan dan agensi pada peringkat negeri, selain berperanan lebih aktif dalam membentuk ekosistem pembangunan luar bandar yang lebih efisien dan holistik.
“Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berada di bawah KKDW, contohnya tidak hanya terhad kepada masyarakat luar bandar, sebaliknya turut terbabit dalam enam teras utama termasuk pendidikan dan keusahawanan.
“Tugas KKDW bukan sekadar menyantuni keperluan 8.1 juta penduduk luar bandar di negara ini, namun membabitkan keseluruhan rakyat Malaysia termasuk di bandar. Contohnya, MARA mempunyai lebih 270 institusi TVET dan juga UniKL (Universiti Kuala Lumpur).
“Begitu juga ekosistem pendidikan prasekolah di bawah KEMAS, bukan hanya di kawasan desa atau pinggiran, tetapi juga di kawasan bandar. Ekosistem yang baharu memberikan penekanan terhadap pendidikan penghafalan juzuk 30 al-Quran dan surah ibadah serta beberapa pendekatan termasuk tabika autisme,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Bersama EXCO Luar Bandar (MEXCBLUB) ke-60 di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan EXCO kerajaan negeri yang memegang portfolio Luar Bandar dari seluruh negara.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW akan mengguna pakai sistem e-Penghulu Perak sebagai platform digital yang akan diperluaskan penggunaannya ke semua pejabat penghulu di seluruh negara sebagai medium memantau pelaksanaan peruntukan bukan saja daripada KKDW, malah kementerian lain.
Beliau berkata, selain pemantauan pencapaian peruntukan yang disalurkan kepada kerajaan negeri melalui KKDW, sistem itu yang kini hanya diguna pakai di Perak juga menjadi kaedah pengutipan data serta pelaksanaan program.
Katanya, pemantauan dijalankan melalui sistem terbabit disifatkan sebagai perubahan besar menjurus kepada keberkesanan kos yang setakat ini disifatkan berada di paras sekitar 95 peratus.
“Hari ini kita mempelajari satu kaedah pemantauan, pengutipan data dan pelaksanaan kepada beberapa program di bawah e-Penghulu yang hanya Perak saja setakat ini ada program itu.
“Saya mengesahkan KKDW akan menggunakan sepenuhnya sistem ini. Saya juga meminta EXCO Luar Bandar di seluruh negara menggunakan sistem ini bagi memantau pelaksanaan peruntukan bukan saja daripada KKDW tetapi kementerian lain,” katanya.-BH Online
