Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji pindaan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 (Akta 617) dengan memperkenalkan rangka kerja kawal selia profesional penilaian harta intelek (IP) bagi meletakkan Malaysia antara negara terawal di ASEAN.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pindaan itu penting bagi memastikan kualiti, ketelusan dan keyakinan pasaran terhadap perkhidmatan penilaian harta intelek, sejajar keperluan ekonomi berasaskan inovasi serta kreativiti.

“Kerajaan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sedang mengkaji pindaan Akta 617 bagi memperkenalkan rangka kerja kawal selia yang khusus untuk penilaian harta intelek.

“Langkah ini penting bagi memastikan profesion ini diiktiraf secara rasmi, berkualiti dan diyakini pasaran.

“Pengukuhan perundangan itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perunding asing dalam menentukan nilai inovasi tempatan, selain membina ekosistem profesional tempatan yang berdaya saing.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada pihak luar untuk menentukan nilai kreativiti dan inovasi negara,” katanya dalam ucapan dibacakan Anggota Perbadanan MyIPO, Syed Ahmad Abdul Rahman, pada Majlis Graduasi Intensif Penilai Harta Intelek dan Peperiksaan 2025, di sini, hari ini.

Armizan berkata, MyIPO turut mengemas kini modul penilaian harta intelek nasional supaya selari dengan amalan pasaran semasa dan penanda aras antarabangsa.

“Apabila struktur kawal selia ini dilaksanakan, Malaysia berpotensi menjadi antara negara pertama di ASEAN yang mengiktiraf profesional penilai harta intelek secara menyeluruh dan rasmi.

“Pindaan Akta 617 dilihat sebagai asas penting untuk menggalakkan institusi kewangan dan pelabur menerima harta intelek sebagai aset berdaya maju dalam keputusan pembiayaan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula.

“Rangka kerja kawal selia itu membabitkan aspek kelayakan, piawaian profesional dan tadbir urus penilai IP bagi menyokong ekosistem harta intelek negara yang lebih berintegriti serta mampan,” katanya.

Armizan berkata, pindaan Akta 617 itu turut menyokong usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada perunding asing dalam menentukan nilai inovasi tempatan, selain membina kapasiti profesional tempatan yang diyakini.-BH Online