PUTRAJAYA: Umat Islam tidak seharusnya menjadikan media sosial tempat meluahkan masalah dihadapi dengan pasangan masing-masing, sebaliknya menggunakan saluran sepatutnya untuk mencari jalan penyelesaian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata ajaran Islam sendiri mendidik supaya semua umat Islam tidak mengaibkan sesama saudara seagama.
Beliau berkata, perbuatan membuka aib pasangan sendiri melalui media sosial, yang kemudian menerima pelbagai reaksi, tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi.
Katanya, perilaku itu dilihat cenderung kepada individu yang mahu mendapatkan ramai pengikut di platform media sosial tanpa memikirkan kesannya.
“Islam mengajar kita menutup aib orang kerana jika kita menutup aib saudara kita, Allah SWT akan menutup aib kita pada hari kiamat.
“Yang ini (menceritakan masalah melalui media sosial) membabitkan saudara, apatah lagi suami atau isteri yang ada hubungan begitu rapat,” katanya selepas program Majlis Apresiasi Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pasangan umat Islam sejak akhir-akhir ini yang gemar menggunakan platform media sosial untuk menceritakan masalah rumah tangga termasuk perkara intim, bagi mendapatkan nasihat netizen.
Justeru, Mohd Na’im berkata, pendekatan dakwah terutama melalui media sosial, diharap dapat mendidik masyarakat khususnya dalam kalangan pasangan, untuk tidak menggunakan platform media sosial bagi mengaibkan pasangan masing-masing.
Sementara itu, beliau berkata, usaha dakwah terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan terus diperkukuhkan melalui pendekatan berfokus serta pelaksanaan program khusus oleh institusi agama berkaitan.
Katanya, program dakwah YADIM memang ada kumpulan sasaran, termasuk golongan terbabit isu LGBT.
“Peranan semua institusi agama adalah penting bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing mewujudkan program yang bersesuaian.
“Masyarakat dan ibu bapa juga perlu bersama memainkan peranan dalam usaha ini.
“Apabila semua pihak memainkan peranan, masalah sosial yang membabitkan golongan LGBT, insya-Allah akan dapat kita kurangkan dan hapuskan,” katanya.
Seterusnya, Mohd Na’im berkata, program dakwah tahun depan akan lebih memfokus kepada inisiatif berimpak tinggi berbanding kuantiti.
Beliau berkata, fokus utama program dakwah akan datang ialah bagi melahirkan masyarakat MADANI yang bukan saja memiliki ilmu serta maklumat, tetapi juga berteraskan adab dan akhlak mulia.
“Kita bimbang jika negara dibangunkan dari sudut fizikal dan ekonomi tetapi masyarakatnya ketandusan adab serta akhlak, akhirnya negara itu akan hancur.
“Kita melihat di luar, adab itu seolah-olah masih ada tetapi apabila berada dalam alam media sosial, seolah-olah hilang sempadan.
“Justeru pada tahun depan, kita mahu menekankan program yang mampu melahirkan masyarakat beradab dan berakhlak dalam apa jua keadaan,” katanya.-BH Online
