Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Hubungan pertahanan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus diperkukuh dengan beberapa inisiatif strategik dan Memorandum Persefahaman (MoU) baharu yang dicapai dalam lawatan kerja rasmi Kementerian Pertahanan selama dua hari, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perkara itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohamed Mubarak Fadhel AlMazrouei di Kementerian Pertahanan UAE, Abu Dhabi.

Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama.

“Selain itu, Malaysia mencadangkan kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE sebagai sebahagian persediaan mengoperasikan kapal tempur pesisir (LCS) Malaysia yang menggunakan teknologi sama.

“Cadangan ini disambut baik UAE dan akan diteliti lebih lanjut dari segi bentuk serta keperluan latihan bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Khaled berkata, dalam pertemuan itu, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas jemputan dan layanan mesra pihak UAE, di samping menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan secara konsisten, selari dengan hubungan ekonomi dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan UAE.

“Pihak UAE turut mengiktiraf hubungan akrab Malaysia-UAE serta mengalu-alukan penyertaan syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group, sebuah konglomerat teknologi dan pertahanan milik Kerajaan UAE.

“Saya juga berpeluang membentangkan keupayaan negara dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa, yang dilihat berpotensi untuk menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan,” katanya.

Pertemuan dua hala itu turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan, yang menurut Mohamed Khaled, menandakan satu lagi perbatuan penting dalam hubungan strategik kedua-dua negara.

Beliau menjelaskan, MoU berkenaan memperluas skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh, selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk membina hubungan diplomasi pertahanan lebih erat, moden dan berpandangan jauh.

“Melalui MoU ini, Malaysia dan UAE menzahirkan komitmen bersama untuk, antara lain, menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, meneroka pengeluaran produk pertahanan, dan membangunkan keupayaan baharu yang memberi manfaat timbal balik.

“MoU ini juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera, khususnya dalam mengenal pasti bidang tumpuan bersama dan potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan, demi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara,” katanya.

Inisiatif latihan bersama

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia dan UAE turut komited meningkatkan koordinasi latihan ketenteraan dan perkongsian kepakaran, termasuk inisiatif latihan bersama yang dapat memperkukuh kesiapsiagaan, interoperabiliti dan keupayaan angkatan kedua-dua negara.

“Diharapkan MoU ini akan membuka lembaran baharu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE yang lebih kukuh, saling melengkapi dan berpaksikan keamanan serta kestabilan serantau dan sejagat,” katanya.

Pada lawatan berkenaan, Mohamed Khaled turut berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di UAE dan disambut Duta Besar, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta seluruh warga kedutaan.

“Saya menzahirkan penghargaan atas komitmen yang dipamerkan dalam memperkukuh hubungan Malaysia-UAE, termasuk dalam aspek pertahanan yang cukup penting kepada kedua-dua negara.

“Selain memastikan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara di luar negara, kedutaan kita berperanan dalam mengukuhkan diplomasi pertahanan, serta menyokong agenda keselamatan negara,” katanya.

Lawatan kerja dua hari itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan (MINDEF), Mohd Yani Daud; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MINDEF, Datuk Muhammad Ammir Haron.-BH Online